Featured Posts

Khamis, 15 Mei 2014

SURAT RASMI : MOHON DIREZABKAN SEBAGAI TAPAK PRASARANA BEKAS KOLAM KUMBAHAN MILIK INDAH WATER YANG TELAH DIKAMBUS/TEBUS GUNA DI RUMAH PANGSA SENAWANG FASA 2.

PERSATUAN PENDUDUK  RUMAH PANGSA SENAWANG FASA II




Blok D. No. 5, Rumah Pangsa Senawang Fasa 2, Jalan Senawang-Paroi
70450 Seremban, Negeri Sembilan
Tel : 012-374 8376, 013-6016330, 06-6785054  Fax: 06-6774600

 

 Ruj Tuan :
Ruj kami : PPRPS-F2/Pent.Jld 1/05 (32)

YAB DATO’ SERI UTAMA HJ MOHAMAD BIN HJ HASAN
MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
Tingkat 5, Wisma Negeri 
70503 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus.

YAB Dato’ Seri Utama,
hb Mei, 2014

Assalamualaikum.

Per :  MOHON DIREZABKAN SEBAGAI TAPAK PRASARANA BEKAS KOLAM KUMBAHAN MILIK INDAH WATER YANG TELAH DIKAMBUS/TEBUS GUNA DI RUMAH PANGSA SENAWANG FASA 2.

Dengan hormatnya kami merujuk perkara di atas.

2.         Mesyuarat persidangan tahunan yang telah diadakan di Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 bertarikh 25hb April lalu memutuskan agar bekas kolam kumbahan milik Indah Water yang tidak lagi beroperasi kerana telah ditebusguna/kambus awal tahun ini; direzabkan sebagai kawasan atau tapak untuk prasarana yang sesuai seperti membina taman mini khusus untuk tujuan rekreasi ataupun membina dewan orang ramai yang lebih besar manfaatnya kepada penduduk. 

3.         Untuk makluman YAB Dato’ Seri, kemudahan khusus untuk kegunaan orang ramai di kawasan kejiranan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ini boleh dikatakan tidak mencukupi berdasarkan populasi penduduk yang semakin meningkat. Kami juga tidak mempunyai kemudahan bagi tujuan rekreasi. Menyedari kawasan penempatan kami adalah berstatus rumah pangsa, maka keluasan untuk tanah bagi tujuan yang dinyatakan boleh dikatakan terhad atau tiada langsung. Justeru bekas kolam kumbahan yang ditinggalkan setelah dikambus oleh Indah Water ini adalah merupakan peluang kepada penduduk untuk merasai sekurang-kurangnya sebuah dewan orang ramai dan taman mini rekreasi. Hanyalah itu aset yang kami kira mampu untuk setidak-tidaknya penduduk dapat merasai hidup seperti kawasan penempatan teres yang biasa dan memiliki dewan serbaguna bagi tujuan-tujuan melaksanakan program atau majlis berskala besar contohnya majlis perkahwinan.

4.         Impian dan harapan yang mengunung tinggi ini tdak mungkin akan tercapai tanpa bantuan dan sokongan daripada YAB Dato’ Seri. Kekuatan ekonomi rata-rata penduduk di kejiranan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ini tidak memungkinkan mereka berpindah ke taman-taman perumahan baru semata-mata untuk merasai segala prasarana yang dimiliki oleh taman-taman perumahan tersebut.      

5.         Sebagai sebuah NGO yang aktif membela nasib penduduk sekitar, Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 telah turut memanjangkan permohonan ini kepada YB Dato’ Hj. Hasim Rusdi untuk dibincangkan ke dalam mesyuarat exco Negeri. Malah YB Dato’ Hj. Hasim juga dalam ucapan perasmian persidangan baru-baru ini telah mengarahkan pengerusi persatuan penduduk agar membuat permohonan khas melalui surat terus kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

6.         Bersama surat ini kami sertakan dokumen sokongan untuk rujukan YAB Dato’ Seri.    

7.         Perhatian dan sokongan daripada YAB kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.


1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan

Yang benar,




Abdul Ghani bin Mansoor PJK
Pengerusi
Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2
(013-6016330 – Pengerusi. 012-3748376 - Setiausaha)

Sk :      
-  YB Dato’ Hj. Hasim Rusdi : ADUN Labu, Exco Kerajaan Negeri Sembilan.