Jumaat, 28 Oktober 2011

SURAT 'CINTA' PERSATUAN PENDUDUK KEPADA TPM

BERIKUT adalah salinan surat cinta yang telah diberikan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk RPSF2, En Abdul Ghani Mansoor kepada YAB TPM lewat kunjungan TPM lalu.


15hb Okt, 2011

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
Y.A.B DATO’ SERI UTAMA TAN SRI HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN
Jabatan Perdana Menteri  
Aras 4  Blok Barat  Bangunan Perdana Putra  
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan  
62502 Putrajaya  Malaysia
Tel: +603-8888 1950  Faks: +603-8888 0035

Y.A.B Dato’ Seri Utama,

MOHON PERUNTUKAN KHAS TIMBALAN PERDANA MENTERI Y.A.B DATO’ SERI UTAMA TAN SRI HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN SEMPENA MAJLIS RAMAH MESRA DAN LAWATAN KE RUMAH PANGSA SENAWANG FASA 2.

Merujuk perkara di atas.
2.         Sukacita dimaklumkan, kami warga penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ingin menarik perhatian YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Yassin atas beberapa permohonan agar dapat kiranya dipertimbangkan atas kapasiti peruntukan khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Permohonan ini adalah mewakili beberapa badan NGO di Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dan Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 telah diberi mandat untuk menyampaikan hasrat dan harapan ini. Terlebih dahulu kami memohon maaf sekiranya terdapat kekilafan tatacara permohonan ini disampaikan. Antaranya ialah:

2.1 Mohon dapat kiranya didirikan Dewan Serbaguna untuk kemudahan penduduk setempat dan persekitaran Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 bagi menjalankan aktiviti. Lokasi telah dikenal pasti dan bersesuaian dengan tujuan ini.

2.2 Mohon diadakan tapak permainan khas untuk kanak-kanak dan dewasa sebagai tempat riadah penduduk.

2.3 Mohon peruntukan untuk Tabung Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 bagi tujuan merancakkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan setempat.

2.4  Mohon dibina sengkuap (awning) di depan surau Infitah Al-khairiah.

2.5  Mohon kemudahan kabin (pondok kawalan) ahli-ahli RELA dan SRS yang mengadakan rondaan malam bagi sama-sama membantu menjaga keselamatan penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2.

2.6  Peruntukan komputer notebook 1Malaysia khas untuk anak-anak penghuni Rumah Pangsa Senawang Fasa 2.

2.7  Mewujudkan kemudahan siber kafe dengan kapasiti 10 komputer di bawah seliaan Kawasan Rukun Tetangga dan Surau Infitah Al-Khairiah.

2.8 Penambahbaikan dewan KRT dan dewan Tabika Perpaduan yang terdapat di Rumah Pangsa Senawang Fasa 2

3.         Kami mewakili seluruh warga penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dan NGO-NGO-nya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian Y.A.B melakukan lawatan khusus untuk beramah mesra dengan penduduk. Terima kasih.

Yang benar

Ahad, 16 Oktober 2011

MAJLIS RAMAH MESRA DAN LAWATAN TPM KE RUMAH PANGSA SENAWANG FASA 2

KUNJUNGAN TPM DAN MB NEGERI SEMBILAN ke Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 telah membuka lembaran baru dalam kehidupan setiap penghuninya. Siapa sangka harapan sekadar menjemput Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan untuk meninjau nasib penghuni-penghuni Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 bertukar menjadi aspirasi yang di luar dugaan apabila jemputan tersebut turut disambut oleh orang penting no 2 di Malaysia iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia; YAB Dato' Seri Utama Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin.  TPM dan MB turut sama membawa beberapa orang barisan exco Negeri. Tentu sekali ini merupakan keterujaan yang amat sangat bagi penduduk-penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 kerana gerombolan orang-orang penting terdiri dari VIP dan VVIP mentsunamikan sekitar kawasan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 pada 15hb Oktober, 2011.


Pada lawatan tersebut, TPM juga sempat menyempurnakan perasmian Surau Infitah Al-Khairiah sambil disaksikan oleh MB Negeri Sembilan. Ini merupakan satu kebanggaan buat ahli kariah Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 kerana buat julung-julung kalinya di Negeri Sembilan, Surau Infitah Al-Khairiah merupakan satu-satunya surau yang dirasmikan oleh orang penting no. 2 di Malaysia itu.

Satu lagi berita yang menggembirakan seluruh penghuni Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 ialah apabila TPM mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kos pembaikpulihan Rumah Pangsa serta kos-kos berkaitan.